Cuba bayangkan situasi berikut:
Anda dah terlambat nak pergi ke tempat kerja. Dalam keadaan kelam-kabut, anda segera mengambil tempat duduk di dalam kereta. Tiba-tiba, enjinnya tidak dapat dihidupkan walaupun selepas berkali-kali kunci anda cuba dipulas. Dahlah ada bunyi yang pelik apabila anda memulasnya. Ah, sudah! Nak buat buat apa sekarang?!
Ha, mungkin itu adalah petanda bahawa baterinya sudah tidak berfungsi lagi. Perkara sebegini juga boleh terjadi jika anda dah lama tak hidupkan kenderaan dalam jangka masa yang panjang. Itulah sebabnya anda harus sentiasa periksa keadaan bateri agar masalah seperti di atas tidak berlaku. Kalau anda nak ganti bateri kereta pula, kenalah gunakan kaedah yang sesuai bagi mengelakkan sebarang kerosakan jangka panjang. Tak tahu macam mana? Jangan risau! Kami akan tunjukkan cara ganti bateri kereta yang sepatutnya supaya anda akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
Sebelum itu, anda harus tahu bilakah masa yang paling sesuai untuk menggantikan atau menukar bateri kenderaan. Antara tanda yang perlu anda perhatikan termasuklah:
- Enjin tidak menyala
- Lampu amaran pada papan pemuka
- Komponen elektrik tidak berfungsi
- Bau aneh
Sebaik sahaja anda menemui salah satu atau sebilangan daripada tanda-tanda di atas, maka dah tiba masa untuk ganti bateri kereta secepat mungkin. Anda juga boleh berbuat demikian sekiranya anda sudah mengetahui secara tepat usia bateri terbabit, lebih-lebih lagi jika ia sudah tidak boleh lagi dicas semula. Bagaimana nak ganti? Ayuh, cuba teliti satu-persatu setiap petua yang kami sajikan di bawah ini!
Cara-cara untuk mengalihkan bateri lama dari kereta anda adalah seperti berikut:
- Letakkan kenderaan di atas permukaan yang rata dan padamkan enjin. Kalau boleh, jangan ganti bateri di kawasan yang terlalu terbuka dan terdedah seperti tepi jalan. Pastikan tiada kelibat air atau pun api berhampiran sebagai langkah keselamatan. Kemudian, cabut kunci bagi memastikan tiada penyaluran kuasa.
- Buka hud. Pastikan anda telah pun mengenakan sarung tangan dan gogal kerana kandungan bateri kereta adalah bersifat merengsakan serta mudah terbakar. Tanggalkan sebarang aksesori berasaskan logam bagi mengelakkan risiko renjatan elektrik.
- Kenal pasti kedudukan bateri. Selalunya, ia terletak berdekatan dengan enjin dan dilindungi oleh penutup plastik. Kalau anda ragu-ragu, rujuk saja pada manual kenderaan.
- Cari terminal positif (lazimnya berwarna merah dan berlambang [+]) serta negatif (lazimnya berwarna hitam dan berlambang [-]). Cabut kabel negatif terlebih dahulu agar tidak berlaku litar pintas dan jauhkannya daripada sebarang logam. Kemudian, barulah cabut kabel positif pula sambil mengikuti langkah keselamatan yang serupa.
- Perlahan-lahan, angkat bateri dan keluarkannya dari pendakap. Letakkan di atas permukaan rata. Ambil kesempatan ini untuk membersihkan ruang di dalam pendakap daripada risiko hakisan. Gunakan air, soda bikarbonat, dan berus dawai. Biarkannya kering buat seketika.
Sekarang, masa untuk masukkan bateri baharu pula. Macam mana? Ikut sahaja langkah-langkah berikut:
- Pastikan saiz dan kapasiti tenaga bateri adalah sama seperti yang sebelumnya. Sekiranya tidak cukup muat, ia boleh mendatangkan masalah serius.
- Bersihkan terminal bateri untuk menghindarkannya daripada sebarang bentuk hakisan.
- Masukkan ke dalam pendakap dan sapukan gris pada terminalnya. Hal ini akan memudahkan proses sambungan.
- Sambung semula kabel positif terlebih dahulu, diikuti dengan kabel negatif. Elakkan daripada sebarang bentuk sentuhan dengan logam bagi mencegah arus elektrik mengalir secara tiba-tiba.
- Pastikan kabel dan kedudukan bateri telah pun diketatkan sehabis mungkin. Tutup hud dan cubalah hidupkan semula kenderaan.
Mungkin segala maklumat di atas akan membuatkan anda sedikit keliru, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tak biasa dengan aspek teknikal kenderaan masing-masing. Tak apa, MyBateri sedia membantu kalau anda mahukan khidmat daripada pakar yang arif dengan cara ganti bateri kereta secara pantas dan tepat. Hubungi sahaja kami secara terus atau hantarkan mesej WhatsApp menerusi talian 019-559 1446. Para petugas kami akan datang kepada anda tak kira masa, di mana jua terutamanya di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, dan Perak. Mudah, bukan?